Awesome Followers

4 November 2016

TO WHOM IT MAY CONCERN

Assalamualaikum..

Dato' Sri --

Terima kasih untuk semua kenaikan yang berlaku pantas sekelip mata ibarat tsunami yang membadai pantai. Kami sebagai rakyat marhaen amat berbesar hati dengan penambahan belanja yang bakal kami keluarkan demi kelangsungan hidup harian. Tak cukup tapak tangan, padang matsirat terasa ingin kami tadahkan.

Dato' sri --

Kami rakyat marhaen memang rata-rata bergaji 5 ribu ke atas. Masing-masing mempunyai 3 atau 4 buah kereta yang menjalar ter-parking di hadapan rumah. Masing-masing mampu membeli 'cash' rumah kediaman tanpa perlu membayar pinjaman perumahan yang tinggi setiap bulan. Anak-anak muda sudah mampu mendapatkan rumah sendiri dengan harga rumah yang tinggi tersebut. Kami bersyukur.

Dato' sri --

Apa lah sangat dengan makan ayam, daging, ikan segar sehari-hari. Ikan masin dan nasi kosong sudah cukup mengisi perut lapar kami yang meminta untuk diisi. Mungkin ada yang tinggal di kampung lagi selera menjamah pucuk-pucuk kampung sehari-hari. Bagi yang bekerja sebagai penoreh getah, harga getah yang sangat rendah mampu menampung kehidupan mereka. Kami masih bersyukur.

Dato' sri --

Sekiranya masih ada peluang untuk kenaikan, kami berbesar hati menyeru Dato' Sri supaya jangan berlengah untuk rebut peluang tersebut. Kami rakyat marhaen masih mampu tersenyum dan bergelak ketawa untuk segala kenaikan yang berlaku. Jangan risau -- kami rakyat tidak susah kerana jalan raya masih lagi sesak dengan kenderaan kami dan airport turut dipenuhkan dengan kami rakyat marhaen untuk menunaikan umrah.

Saya mohon agar dato' sri tidak terkesan hati dengan kata-kata syukur dari kami rakyat marhaen yang kais pagi belum tentu petang nanti dapat makan. Kami cuma ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada dato' sri kerana memberi peluang kepada kami merasa kesempitan hidup seperti mana nenek moyang kami sewaktu penjajahan terdahulu.

Cuma satu ingin kami ingatkan.

Rakyat terdahulu dijajah kuasa asing.

Takutlah sekiranya dato' sri terlupa.

Yang tulus ikhlas,
RAKYAT YANG 'KAYA'

No comments: